Saturday, December 15, 2007

Mahasiswa momentum kebangkitan Ummah.



Mahasiswa momentum kebangkitan Ummah.
Oleh : ibnuishak (http://ibnuishak.blogspot.com/)


Peristiwa Baling pada bulan November 1974 pastinya merupakan antara peristiwa penting kemuncak perjuangan mahasiswa dahulu yang pastinya masih segar diingatan masyarakat Malaysia. Peristiwa ini telah membabitkan lebih dari 4000 mahasiwa dari beberapa universiti turun padang membentuk engagement bersama masyarakat petani di Baling untuk sama-sama berdemonstrasi membantah kebuluran yang berlaku di Baling, Kedah. Impaknya, tidak kurang dari 1000 orang mahasiswa telah diseret untuk ditahan serta sebahagiannya dihadapkan ke mahkamah. Ekoran dari peristiwa ini yang dianggap mengancam kedudukan pemerintah menyebabkan kerajaan meminda akta AUKU pada 1975 supaya kegiatan mahasiswa dikawal dan aspek monitoring kepada semua kegiatan mahasiswa diperketat. Sengaja penulis mengimbas peristiwa ini bagi memberi gambaran asas berkaitan realiti kerjasama erat antara mahasiswa dan masyarakat suatu ketika dahulu. Tidak hairanlah, apabila Allahyarham Usman Awang melahirkan rasa kagumnya kepada mahasiswa melalui bait-bait puisinya:

Dengan Buku di tangan kau nyayikan lagu itu
Meresap pada jantung bangsa
Lagu daerah teluk gong
Dari ruang sudut pidato
Pecahlah kaca menara gading
Dengan Berani berteriak
Untuk petani-petani yang tertindas
Lihat pancar mata ayah mu di desa
Lihat senyum ibu mu di kampung
Kebanggaan bahawa kau anak mereka
Usman Awang 1967


Jika diteliti pada era 1970-an, kita melihat suasana baru dimana telah ramai anak-anak petani dan anak-anak dari luar bandar yang berlatarkan kemiskinan berpeluang melanjutkan pelajaran ke gedung-gedung ilmu di ibu kota. Mereka mula mendapat tempat di universiti dan mula memainkan peranan penting di dalam pergerakan mahasiswa lantaran timbulnya kesedaran tentang perlunya kemajuan di daerah masing-masing dan memandang bahawa masyarakat desa perlu diberi perhatian dan perubahan.[Hassan Karim, 1984]. Atas kecekalan azam dan karisma kepimp inan, kebanyakan mahasiswa inilah yang sedang berada dalam kepimpinan masyarakat dan negara pada masa kini.

Maka ada benarnya dengan kata-kata yang sering kita dengar bahawa, “Belia hari ini merupakan cerminan kepimpinan masa hadapan”. Maka mampukah mahasiswa hari ini mencorakkan kepimpinan masa hadapan? Mampukah mahasiswa hari ini menggerakkan momentum ummah 5 tahun atau 10 tahun atau mungkin 20 tahun akan datang? Penulis suka untuk menggunakan istilah momentum yang juga merupakan antara istilah penting sains fizik untuk menggambarkan kecepatan atau kederasan sesuatu objek bergerak. Maka momentum kebangkitan ummah pastinya merujuk kepada peranan mahasiswa di dalam mobilasi kesedaran serta kefahaman masyarakat untuk terus bangkit dari kelesuan dan kemunduran minda dan jiwa.

Realiti Mahasiswa masa kini.

Suatu ketika dahulu, mahasiswa sering menjadi kebanggaan masyarakat. Masyarakat memandang tinggi kedudukan mahasiswa hinggakan apa sahaja nasihat dan pandangan mahasiswa akan diambil perhatian oleh masyarakat. Masyarakat desa dan kampung khususnya akan berasa bangga dengan kejayaan anak-anak mereka menjadi pelajar universiti dan pastinya mereka akan dihormati oleh masyarakat bila pulang ke kampung.. Namun sejak akhir-akhir ini, sering kedengaran tentang penglibatan mahasiswa dan golongan belia di dalam gejala-gejala sosial. Mengikut perangkaan indeks yang dikeluarkan tidak lama dahulu mencatatkan bahawa golongan mahasiswa merupakan antara golongan yang menyumbangkan antara peratusan tertinggi di dalam perangkaan kadar kesalahan jenayah dan juga sosial masyarakat pada masa kini. Sebut sahaja masalah-masalah sosial pada hari ini seperti mat rempit, gejala zina, anak luar nikah, pil ecstasy, dadah dan pelbagai lagi pasti akan melibatkan segelintir mahasiswa.

Kita juga melihat kepada budaya hedonisme yang begitu memuncak di dalam masyarakat pada hari ini juga banyak menempiaskan aura dan pengaruhnya kepada golongan mahasiswa yang sepatutnya memimpin masyarakat di dalam membasmi budaya ini. Tempias budaya hedonisme ini semakin ketara jika dilihat kepada penyertaaan golongan ini yang sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit untuk program-program realiti tv, kurangnya penyertaan di dalam seminar-seminar ilmiah dan agama serta bertambahnya penyertaan golongan ini di dalam gejala-gejala sosial. Pastinya gejala ini bakal mewujudkan ideologi baru iaitu “tidakpedulisme” golongan ini kepada isu-isu sensitif masyarakat hingga menyebabkan aspek kemajuan dan kefahaman masyarakat dikesampingkan. Pastinya peranan sebagai jurubicara masyarakat hanya tinggal imaginasi, kenangan silam serta bahan catatan yang tercatat dihelaian kertas sahaja.

Mahasiswa sebagai golongan intelek.

Mahasiswa sangat sinonim untuk disebut sebagai golongan dan permata intelek negara. Pemikiran yang matang serta keupayaan untuk melakukan pengkajian yang menyeluruh sepatutnya digunakan oleh mahasiswa untuk menyumbang kepada kesedaran dan kemajuan masyarakat. Umpamanya, golongan mahasiswa boleh membantu meringankan beban masyarakat terutama di dalam aspek sosial dan kefahaman tentang sesuatu isu sensitif seperti gejala murtad, ekonomi, politik dan banyak lagi. Namun, kita melihat budaya membaca agak kurang dikalangan mahasiswa bukan sahaja di Malaysia malah meliputi negara-negara lain. Seperti mana yang pernah dinyatakan oleh Allan Bloom dalam “The Closing of American Mind” apabila menjawab permasalahan generasi muda di Amerika, beliau meletakkan kerunsingan kepada kurangnya minat golongan muda di Amerika Syarikat terhadap budaya membaca yang menjadi kunci kepada kekuatan budaya ilmu. Maka bagaiman ingin melahirkan golongan berilmu dan intelek jika mahasiswa malas membaca?

Perangkaan dan statistik rasmi yang dikeluarkan pada tahun 2003 menunjukkan bahawa China menerbitkan 18,000 judul buku dan United Kingdom dengan 116,000 buah buku setahun sedangkan industri buku negara hanya mengeluarkan 1,000 judul setahun yang mana sebahagian besarnya adalah buku teks atau berkaitan dengan sekolah. Agaknya mungkin kita ketandusan golongan intelek yang mampu untuk menghasilkan buku-buku berkualiti pada masa kini. Gagalkah mahasiswa hari ini untuk menyumbang kepada kelahiran golongan intelek yang mampu mencorak negara pada masa hadapan? Budaya penterjemahan kitab-kitab dan buku-buku dari luar juga agak kurang di Malaysia jika dibandingkan dengan negara jiran kita iaitu Indonesia yang mana budayanya cukup subur dan golongan mahasiswa merupakan kelompok yang banyak terlibat di dalam usaha penterjemahan dan penerbitan buku dari luar ini.

Mahasiswa dan kerja-kerja dakwah

Di dalam aspek dakwah kepada masyarakat, mahasiswa sepatutnya mengoptimumkan peranan mereka didalam memberi pendedahan yang bersesuaian kepada masyarakat berkaitan kefahaman Islam yang kelihatan agak terhakis pada masa kini. Pendekatan yang lebih bersifat interaktif, mesra masyarakat serta memanipulasi keseluruhan teknologi baru perlulah digarap sepenuhnya sebagai agenda baru “da’ie enterprising” dikalangan mahasiswa. Enterprising yang dimaksudkan lebih kepada sifat kecergasan dan daya usaha yang tinggi di dalam diri mahasiswa untuk mengislah masyarakat selaku antara mad’u mereka yang utama. Penulis cukup tertarik dengan ungkapan Pak Nasir di dalam bukunya Fiqh al-Dakwah, “Janganlah sekali-kali pendakwah menjadikan diri mereka “manusia suci” takut menyentuh dan tersentuh. Manusia yang berdosa di luar sana sedang menanti sentuhan tangan kalian, ayuh keluarkan mereka dari dosa dan maksiat barulah kalian bergelar pendakwah sebenarnya.”

Mahasiswa perlu memperkemaskan jentera gerakan dakwah mereka dalam usaha menongkah arus perjuangan semasa. Dakwah pada hari ini terpaksa berdepan dengan kualiti ummah yang disebut oleh Rasulullah tidak ternilai seperti buih di lautan. Lantaran itulah pendekatan tarbiah dan pendidikan yang sesuai sangatlah perlu dipertingkatkan. Aspek siasah semasa juga perlu diambil perhatian sebagai antara aspek penting yang perlu kepada perancangan rapi di dalam mendepani merealisasikan siasatu dakwah yang lebih realistik dan efektif kepada masyarakat.

Golongan professional pendakwah yang mahir dalam bidang-bidang tertentu juga pastinya akan terlahir dari kalangan mahaiswa hari ini. Tanpa usaha jitu mahasiswa di dalam memperkemaskan aspek akademik, mereka akan gagal menjadi pakar di dalam bidang-bidang penting negara. Pastinya satu kegagalan di masa hadapan jika kita masih gagal meletakkan figur-figur dakwah di keseluruhan bidang kehidupan. Maka, mahasiswa perlu optimis dan mempunyai keyakinan yang padu di dalam perjuangan dakwah ini kearah masyarakat yang lebih bertamadun dan mempunyai penghayatan Islam yang menyeluruh.

Konklusi

Setelah berakhirnya Perang Dunia II pada tahun 1945, kerajaan Inggeris masih setia menjajah Mesir disamping menguasai Terusan Suez dan telah mengambil alih pemerintahan Mesir ketika itu. Oleh itu, mahasiswa telah menyuarakan suara rakyat Mesir supaya Inggeris keluar daripada tanah air mereka. Mereka telah mengeluarkan penyataan dan tuntutan nasional dari rakyat Mesir iaitu: :
a) Penjajah keluar dari seluruh tanah, air dan udara Mesir.
b) Menyerahkan masalah Mesir ke dunia global di depan Dewan Keamanan PBB
c) Membebaskan negeri daripada dominasi asing dalam bidang ekonomi.
Hasilnya pada 21 Februari 1946, penjajah Inggeris telah beredar dari Mesir selepas berlakunya pertembungan hebat antara mahasiswa yang bersama rakyat dengan tentera Inggeris di Lapangan Pembebasan ( Madyan At-Tahrir ). Peristiwa ini sepatutnya menjadi motivasi kepada mahasiswa di dalam mengikis penjajahan bentuk baru yang agak ketara pada masa kini. Ghazwul fikr dan penjajahan pemikiran adakalanya kelihatan sangat meruncing dan memerlukan tonik serta formula baru mahasiswa.

Ibn ‘Atha’illah telah berkata dalam hikmahnya, “ Banyak sekali manusia yang diberikan usia umur yang panjang tetapi sumbangan yang diberikannya sangat sedikit dan banyak sekali orang yang mempunyai sumbangan yang sangat banyak tetapi umurnya tidak panjang. Sesiapa yang umurnya diberi berkah oleh Allah SWT maka dalam jangka masa pendek dia akan dapat mendapat berbagai-bagai kurniaan daripadaNya, yang sangat sulit untuk diungkapkan.” Ungkapan ini mungkin sedikit sebanyak mencetuskan suatu lontaran yang terbaik buat kita selaku golongan mahasiswa yang mungkin masih muda dan mungkin masih mempunyai banyak masa, namun sejauh mana sumbangan kita di dalam menggerakkan momentum baru kebangkitan ummah. Sejauh mana usaha kita? Sejauh mana sumbangan kita?
Sudah tiba masanya untuk kita selaku mahasiswa untuk mula merancang, merencana serta menggerakkan kudrat yang ada untuk terus bergerak. Mobilasi dinamik yang telah kita jana pastinya akan menyumbang kepada nilai kejayaan pada masa hadapan. Tidak hairanlah Albert Eintain menyebut berkaitan imaginasi bahawa, “Imagination is more important than knowledge. Knowledge is limited. Imagination encircles the world.” Perancangan dan perencanaan memerlukan kepada imaginasi yang mula mencongak dan membina general view kepada asas kejayaaan masa depan. Maka tibalah untuk mahasiswa bertindak. Bertindak ke arah momentum kebangkitan ummah!

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap jiwa melihat (merancang) apa yang mahu disediakan (persiapan) untuk hari esok, dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Al-Hasyr : 18)

0 komen anda:

Islamic Clock


About Me

My photo
Seorang bekas pelajar kejuruteraan di ipta tempatan ... To become success Muslim engineer.. SKSL 1999-1996 SMK Kulim 1997-2000 KISAS Klang 2000-2001 Matric UIA 2002-2004 UIAM 2004-2008 SCICOM 2008 Infineon Technology 2008-...

Ayuh ke Masjid

Ayuh ke Masjid

Sembang sembang


ShoutMix chat widget

Senyum Da'ie

Senyum Da'ie

Personaliti

Click to view my Personality Profile page

Pelawat

Pelawat


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Terima kasih kerana melayari ibnuishak.blogspot.com
Template by ibn_sabil | blog Blogger Templates